Bengkel Penyediaan Modul & Buku FlexS 2021

bengkel flexs

 

Pusat Pengurusan Kecemerlangan dan Inovasi Akademik (CoMAE-i) dengan kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (PTNCAA) telah mengadakan Bengkel Penyediaan Buku & Modul Flexible Education with Soul (FlexS) pada 28-30 Oktober 2021, bertempat di Hotel Grand Renai, Kota Bharu, Kelantan. Bengkel ini melibatkan seramai 36 orang peserta yang merupakan ahli Jawatankuasa Teras FlexS dan beberapa orang urus setia dari CoMAE-i.

Bengkel merupakan suatu wadah perkongsian ilmu dan percambahan buah fikiran dalam kalangan ahli Jawatankuasa Teras FlexS. Ia bertujuan untuk menghasilkan buku dan modul FlexS yang akan dilancarkan pada majlis perasmian penutup Minggu Citra Akademik 2021 di samping menyemak dan memurnikan perancangan setiap teras ke arah pemerkasaan pelaksanaan FlexS pada masa akan datang.

Bengkel ini dimulakan dengan ucapan aluan oleh Prof. Kamarul Shukri bin Mat Teh, Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa (TNCAA), diikuti dengan taklimat oleh pihak urus setia berkenaan tentatif bengkel yang berlangsung selama 3 hari 2 malam. Perbincangan dalam kumpulan mengikut 4 teras utama, iaitu Teras Murabbi Unggul, Teras Gaya Hidup Sejahtera, Teras Hubungan Insaniah dan Teras Ta’llim wa Tarbiyah menjadi agenda utama. Setiap kumpulan membuat pembentangan usai perbincangan dalam kumpulan bagi memastikan semua teras dapat mencapai objektif yang telah disasarkan.

Pada majlis penutup bengkel, TNCAA berterima kasih atas komitmen tinggi yang diberikan oleh semua peserta dan urus setia. Para peserta juga berpuas hati dengan kejayaan menyiapkan buku dan modul FlexS yang akan dilancarkan pada 2 Disember 2021 dalam Majlis Perasmian Penutup Minggu Citra Akademik 2021 di Dewan AL-Muktafi Billah Shah.

Related Articles